Rekabentuk, rekacipta, rekaan artistik, latarhias, tatahias, tatacahaya, seni rupa, kostum; banyak lagi penamaan dan terminologi muncul dalam arena seni persembahan untuk menerangkan rekaan visual yang dapat dilihat dalam produksi seni persembahan seperti teater, tari, muzikal dan muzik. Di antara terminologi yang ada, sinografi adalah merupakan terminologi yang tepat untuk digunakan sebagai mewakili keseluruhan bentuk seni visual yang dapat dilihat dalam sesebuah produksi ini iaitu rekaan pentas dan kostum, pencahayaan, susunatur ruang lakon, penggunaan ruang untuk aktor termasuklah persekitaran rekabentuk dalaman sesebuah panggung: apa saja kesan visual yang dapat dilihat di dalam panggung tersebut.
Kepentingan sinografi boleh dianggap sama setara dengan teks: bila dialog mencipta seni percakapan dan tingkahlaku di pentas, sinografi mencipta seni visualnya. Sinografi mengingatkan bahawa perkataan yang lahir dari sesebuah teks tidah cukup untuk menghuraikan dengan sempurna makan sesebuah persembahan.
Terminologi ini sudah digunakan di Benua Eropah dan Amerika sejak tahun 1800 lagi. Sejak kewujudan teater di zaman Greek dan seterusnya, ke zaman Renaisance pakar sinografi telah berlumba-lumba merekacipta visual untuk memantapkan sesebuah pementasan teater. Konsep sinografi secara keseluruhannya belum pernah diaplikasikan kepada dunia seni persembahan di Malaysia, justeru itu projek ini ingin mengorak langkah sebagai projek perintis memperkenalkan sinografi sebagai satu elemen yang penting dalam penerbitan sesebuah persembahan.
Projek ini akan menekankan disiplin sinografi seperti kajian terhadap ruang, naskah (skrip), dramaturgi, warna dan komposisi, pengarahan, aktor serta khalayak (audien) dengan menggunakan teknik dari naskah ke ruang. Projek ini ingin menguji sejauhmana berkesannya sinografi dalam sesebuah pementasan teater, adakah elemen-elemen sinografi ini boleh membantu penerbitan sesebuah produksi teater di negara ini.