Mengambang bulan di langit hijau
tidakkah secerah mentari di langit merah
lembah dan lurah berabad kering mewah
Sedang baja di tanah sendiri
menyubur subur di bendang seberang
Kuala Besar dikocak badai
tidaklah setenang Teluk Likas Kinabalu
ombaknya menyusur sipu-sipu
negeri maju dek bijak peneraju
kerana bukan sekadar berkata tahu
Pantai Cahaya Bulan
bergelora sentiasa
inginkan damai sepermai
Pantai Damai Santubong
santun bersimpuh di tepian
Laut China Selatan
rumpun akarnya bercampur
tebing dan aur kasih
kian lama tidak luntur
menjalar akar misi visinya menggunung
dalam seberkas ras yang dijunjung.
Bersinarkah lagi bulan di ranjang dunia
andai melihat akhirat hanya kalimat surat
tanpa melihat akhirat tersirat dibalik rahsia
huruf dan ayat
hanya satu yang benar-banar tahu
sedang yang seribu selalu keliru
bagai bistari seperti hukama dengan imalat
bila bergerak hilang tumpu sirna tuju
tiada penamat.
Serambi Mekah terpokah satu persatu
siapakah yang akan ambil tahu
bila bulan retak beribu
apakah hayat tinggal nama seorang guru.
kelana akira
Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
Kota Bharu, Kelantan
25 Ogos 2002
No comments:
Post a Comment