Wednesday, September 3, 2008

LOCENG

Setiap subuh loceng pasti berdenting
namun pagi ini jam meja ku kehabisan bateri
aku ketinggalan subuh lagi

Loceng masuk sekolah berdering
seperti lazimnya perhimpunan pagi
amanat guru senantiasa ada
loceng masuk kelas masa pertama
jam kelas sains bermula
guru sains yang bakal bersara
membunyikan loceng kecil penuh gaya
muncul tikus bulan berlari-lari pantas
keriangan di dalam kotak kaca.

Tikus bulan merapat berdiri dengan kaki kedua
di dinding kotak kaca sederhana besar rumahnya
makanan diberi beberapa minit sahaja.

Tikus bulan sirna tiba-tiba
maka dibunyikan loceng kecil sekali lagi
tikus bulan cepat berlari-lari lalu minumanpun diberi
begitulah sejak tikus itu mula dimasukan di rumah kacanya tadi.

Bunyi loceng berlari-lari dia makan
bunyi loceng berlari-lari dia minum
rutin guru sanis dan tikus bulan
setiap kelas sains dihadiri
pernahku lihat di suatu hari di satu sessi
loceng dibunyikan berulang-ulang kali
tikus bulan berlari-lari kegirangan tetapi
makanan dan minuman tidak diberi
tikus bulan mundar mandir resah berlari
ke sana ke mari melompat dan berdiri
dengan dua kaki di dalam rumah kaca empat segi
apakah erti kehaiwanan hidupnya diperlakukan begini.



Loceng kelas berdering
jam kelas sivik bermula
loceng kelas berdering
jam kelas agama bermula
loceng kelas berdering
jam kelas matematik bermula
loceng jam kelas berdering
loceng dan loceng
berdering-dering setiap hari
sehingga pulang sekolah tiada kedengaran lagi.

suatu ketika,
tiba-tiba dua hari loceng deringannya mati
murid dan guru resah bagai tikus bulan
di rumah kaca kematian bunyi
ada jam laju ada jam lambat
tetapi masa tetap tepat
adil terhadap manusia dan alam jagat.

kelana akira
SMK Bandar Samariang
Petra Jaya Kuching.
14 Februari 2008

No comments: